Thursday, September 18, 2008

Nilai Sebuah Tanahair

Malam tadi selepas selesai menunaikan solat terawih di Masjid Abu Bakar lebih kurang jam 9.00 malam (Isyak disini jam 7.30pm) saya bersendirian memandu kereta SUV yang baru saya beli lebih kurang 3 minggu yang lepas menuju ke rumah seorang sahabat iaitu saudara Ardelan yang merupakan warganegara Iraq yang bakal berhijrah ke Kanada. Beliau merupakan rakan sekerja dan juga merupakan muaallim kami yang secara sukarela mengajarkan bahasa Arab kepada sahabat2 yang lain dari Malaysia. Seperti yang telah dijanjikan bersama-sama kawan-kawan Malaysia yang lain lebih kurang 7 orang kami sama-sama membantu beliau mengangkat bagasi-bagasi yang telah siap diikat rapi kedalam kereta kami untuk di hantar ke airport. Penerbanagan dijadualkan jam 1.00 pagi tetapi beliau sengaja ingin bertolak lebih awal.

Kisah saudara Ardelan bagi saya amat banyak untuk dipelajari dan untuk diteladani. Sedikit mengenai latarbelakang saudara Ardelan merupakan seorang jurutera kanan di bhgn rekabentuk. Beliau telah lama meninggalkan bumi Iraq dan sebelum kesini beliau pernah bertugas dengan sebuah firma perunding terkemuka di Kuala Lumpur lebih dari 10 tahun. Semasa di Malaysia beliau menceritakan pernah memohon untuk mendapat taraf penduduk tetap tetapi sehinggalah beliau meninggalkan Malaysia status permohonan beliau masih tidak diketahui. Hampir kesemua kelima2 anak2 beliau dilahirkan di Malaysia dan menganggap Malaysia adalah tanahair mereka. Walaupun telah berada di Bahrain anak-anak beliau masih lagi merindui suasana dan keindahan Malaysia. Anak2 beliau tidak pernah menjejakkan kakinya di bumi Iraq dan semenjak beliau keluar dari Iraq beliau tidak pernah lagi kembali kesana atas dasar keselamatan.

Apa yang menariknya mengenai Ardelan beliau sanggup mengorbankan kerjaya beliau disini dengan gaji yang agak lumayan semata-mata untuk berhijrah demi masa depan anak-anak. Di Kanada beliau menyatakan telah dijanjikan akan mendapat taraf pemastautin tetap disana. Tanggapan saya bahawa beliau mendapat tawaran kerja yang lebih menarik meleset sama sekali. Apa yang lebih mengejutkan dia secara terang-terangan memberitahu saya beliau masih belum mendapat apa-apa jaminan pekerjaan disana atau dengan kata lain beliau adalah pengganggur sebaik sahaja sampai disana. Saudara Ardelan sanggup mengorbankan segala-galanya termasuk kerjaya beliau semata-mata untuk mendapatkan taraf pemastautin tetap di Kanada. Sementara mendapat pekerjaan disana beliau menyatakan seornag sahabat disana telah mencarikan sebuah rumah pangsa yang sewanya hampir RM3,500 sebulan dan tu adalah yg termurah disana. Untuk tiket penerbanagan ke Kanada sahaja beliau telah membelanjakan RM24,000 untuk keluarganya. Walaupun beliau bukan seornag yang berada tetapi kesemua wang simpanannya digunakan semata-mata untuk mendapat pemastautin tetap dimana tempat yang sekurang-kurangnya anak-anak belaiu boleh panggil tanahair untuk sementara waktuu. Setiap detik mengenangkan kepayahan Ardelan betapa membuatkan saya rasa begitu kerdil untuk mengorbankan diri demi keluarga dan betapa tanahair adalah harta yang sebenarnya tidak ternilai harganya.

No comments: